Solidariti buat Wan Ahmad Faris, Zara di Kelantan

Solidariti buat Wan Ahmad Faris, Zara di Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini dipenuhi peserta himpunan yang menunjukkan solidariti demi keadilan buat pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman.

Himpunan yang bermula 8.40 malam itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang membawa sepanduk, kain rentang, dan poster wajah Allahyarham sebagai tanda sokongan dalam usaha menuntut pembelaan kematiannya

Sebelum itu, keluarga Allahyarham bersama orang ramai menunaikan solat Isyak dan solat hajat berjemaah sebagai tanda munajat dan berdoa kepada Yang Esa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berkawal sepanjang himpunan bagi memastikan keselamatan semua.

Turut hadir, ibu bapa arwah, Ruhani Hussin, 70, dan suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, yang memaklumkan terharu dengan kehadiran ribuan penduduk himpunan itu.

“Himpunan ini sekali gus menyedarkan orang ramai bahawa sekarang banyak kejadian buli yang berlaku dan memerlukan keadilan. Ia juga bukti perjuangan menuntut keadilan untuk Allahyarham Wan Ahmad Faris bukan perjuangan keluarga semata-mata tetapi suara masyarakat,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, himpunan itu turut melaungkan solidariti buat Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia 17 Julai lalu.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas ditemui mati dalam tandas asrama sekolah dan kematian dikatakan tiada unsur jenayah.

Bagaimanapun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris adalah berpunca daripada perbuatan individu tidak dikenali, sekali gus menolak kemungkinan arwah membunuh diri.

Pada 29 Julai, keluarga Allahyarham memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi membolehkan siasatan kes Allahyarham dibuka semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top