am@hmetro.com.my
Kudat: Meskipun himpunan solidariti bagi menyokong keluarga Allahyarhamah Zara Qairina di daerah ini dijadualkan bermula jam 8 malam, peserta dilihat sudah berkumpul seawal jam 4 petang, hari ini.
Kira-kira 5,000 jumlah anggaran peserta himpunan termasuklah penduduk sekitar Kota Marudu dan Pitas tampil ke perkarangan Menara Jam Esplanade Sidek Kudat yang berakhir pada jam 9.15 malam tadi.
Jumlah kehadiran himpunan itu terus bertambah terdiri pelbagai peringkat umur manakala terdapat juga puluhan kenderaan termasuk pacuan empat roda dan lori yang memasang kain bertulis ‘Justice For Zara’ dan ‘Justice4Zara’ sebagai tanda sokongan menuntut keadilan.
Slogan dilaungkan peserta, ‘Justice for Zara’, turut diikuti dengan puisi serta keterangan ringkas mengenai pemergian Zara Qairina.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd