LONDON: Ole Gunnar Solskjaer hari ini cuba menenangkan peminat lawan mereka dalam separuh akhir Liga Europa, Roma yang menyalahkan bos Manchester United itu kerana tidak menghormati kelab mereka.
Komen dibuat Solskjaer selepas kejayaan suku akhir berdepan Granada mendatangkan kemarahan sebahagian penyokong Giallorossi yang meletakkan poster pengendali dari Norway itu di pusat latihan kelab Serie A itu bersama kata-kata: “Saya tidak mengenali mereka dan tidak pernah melihat mereka bermain.”
Penyokong menambah kata-kata “Pastikan dia akan mengingati kita!”
Solskjaer, yang mencari trofi pertama sebagai bos United memberitahu sidang akhbar bahawa kata-katanya itu perlu dilihat dalam konteks berbeza.
“Itu terjadi selepas perlawanan dan selepas semua perlawanan kami lalui, saya lega kami berjaya melaluinya,” katanya.
“Sudah tentu saya pernah menyaksikan mereka tetapi saya belum membuat analisis dan tidak melihat mereka secara mendalam bagi memberikan mereka cukup rasa hormat mungkin dengan analisis.
“Saya pastinya akan berkata, yang benar-benar saya maksudkan, ia kelab yang menakjubkan bersama sejarah hebat’.”
Solskjaer berkata dia juga memiliki dua jersi dipakai pemain hebat Roma.
“Saya sebenarnya memiliki dua jersi berharga – jersi (Francesco) Totti dan (Daniele) De Rossi yang saya tukar dengan mereka, sebenarnya turut ditandatangani,” katanya.
“Saya tahu mengenai sejarah, saya tahu mengenai kualiti.”
“Ia bukan bermaksud tidak menghormati mereka dan saya rasa semua orang tahu mengenainya. Saya sangat menghormati mereka,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd