Solskjaer masih ada misi belum selesai di United

Solskjaer masih ada misi belum selesai di United

London: Ole Gunnar Solskjaer mengakui masih berminat kembali mengendalikan Manchester United pada masa depan kerana ada misi yang belum diselesaikannya bersama kelab itu.

Pengakuan bekas pengendali The Red Devils itu hadir ketika tekanan terhadap pengurus semasa, Michael Carrick, semakin memuncak susulan prestasi hambar pasukan yang terus merudum.

Kekalahan 0-2 kepada Chelsea, Sabtu lalu, menyaksikan United menghuni tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya dibezakan dengan Crystal Palace di tangga ke-18 menerusi kelebihan jaringan, selain dua mata di depan Sunderland yang berada di dasar liga.

Solskjaer pernah mengemudi United dengan laluan hampir sama seperti Carrick, bermula sebagai pengendali sementara sebelum dilantik secara tetap.

Pengendali dari Norway itu turut menjadikan Carrick sebahagian daripada barisan kejurulatihnya sebelum dipecat pada November 2021.

Ketika Ruben Amorim dipecat Januari lalu, kedua-dua Solskjaer dan Carrick turut ditemu duga untuk mengisi jawatan pengendali sementara sebelum pilihan akhirnya memihak kepada Carrick.

Mengulas kemungkinan kembali ke Old Trafford, Solskjaer tidak menolak peluang itu, malah mengakui masih mempunyai urusan yang belum diselesaikan bersama kelab berkenaan.

“Kembali kepada sesuatu yang pernah berlaku tidak semestinya lebih baik. Saya juga merasakan ada sesuatu yang belum selesai. Sudah tentu, peluang untuk kembali mengendalikan pasukan itu sekali lagi tentu sesuatu yang menarik,” katanya kepada TV2 Norway.

Bagaimanapun, Solskjaer menegaskan dia tidak berhasrat mengambil alih tempat Carrick, yang juga bekas rakan sepasukan dan sahabatnya.

“Jika Michael berjaya selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk berundur dan mereka meminta saya mengambil alih selama dua bulan, sudah tentu saya tidak akan menolak.

“Saya berada di kelab itu selama 18 hingga 19 tahun. United sudah seperti keluarga sendiri, tetapi perkara itu bukan sesuatu yang sedang saya fikirkan,” katanya.

Solskjaer turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Carrick untuk membawa United keluar daripada kemelut, meskipun tekanan semakin meningkat terhadap pengendali itu.

“Michael mempunyai kemampuan untuk membawa kelab itu ke hadapan. Saya fikir dia orang yang tepat. Dia memahami kelab, penyokong dan tahu apa yang diperlukan,” katanya.

Carrick kini perlu membuktikan kemampuan itu apabila United berdepan Roma dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini, sebelum melayan kunjungan Aston Villa dalam saingan EPL, Ahad ini, kedua-duanya di Old Trafford sebelum rehat antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top