Son pastikan Tottenham kembali ‘bernyawa’ – Utusan Digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

LONDON: Son Heung-min membantu Tottenham kembali ke landasan terbaik apabila meledak gol Liga Perdana Inggeris pertamanya sejak Oktober lalu ketika Spurs menewaskan Brentford 2-0 hari ini.

Kali terakhir skuad bimbingan Antonio Conte beraksi adalah tujuh hari lalu, yang menyaksikan mereka dimalukan 2-1 oleh kelab kerdil Slovenia, NS Mura dalam Liga Konferensi Europa.

Tottenham bagaimanapun mempamer penguasaan di London dan membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi gol sendiri Sergi Canos.

Heung-min meledak gol kedua pada minit ke-69 untuk Spurs mengejar kelompok empat teratas dengan mengutip 22 mata, hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat, West Ham.

SON Heung-min meraikan jaringannya ketika menentang Brentford.

Itu adalah jaringan liga ke-75 buat bintang tengah Korea Selatan tersebut sejak menyertai Tottenham dari Bayer Leverkusen pada 2015.

Conte berkata, pemain sudah mula memahami falsafahnya sejak mengambil alih kelab London itu awal bulan lalu.

Biarpun mengakui masih banyak yang perlu dipertingkatkan, namun Conte lega melihat persembahan paling meyakinkan sejak dia mengetuai kelab.

Tottenham kini di tangga keenam selepas melebarkan rekod tanpa kalah di bawah Conte kepada tiga perlawanan sejak dia menggantikan Nuno Espirito Santo.

“Ia persembahan yang bagus berdepan pasukan sangat bahaya. Saya gembira  melihat komitmen hebat dan kesungguhan  pemain.

“Pemain mula faham falsafah saya. Kami boleh melakukan dengan lebih baik tetapi gol kedua itu sangat hebat.

“Ini tiga mata yang bagus untuk keyakinan kami. Pemain menunjukkan keinginan yang hebat untuk mengubah situasi,” kata Conte. – AGENSI