Ramallah: Nour Soufan, kini 27, sepatutnya bertemu bapanya Moussa, yang dipenjarakan beberapa bulan selepas kelahirannya, di luar penjara, buat kali pertama.
Nour dan setengah dozen saudara-maranya datang ke Ramallah dari Nablus, di utara Tebing Barat, dan bermalam di dalam kenderaan mereka.
“Saya tidak pernah melihat ayah saya, dan ini kali pertama saya akan melihatnya. Ini adalah saat yang sangat indah,” kata Nour.
Seperti Nour, ramai yang mengingkari sekatan perjalanan yang menyelubungi kehidupan seharian di wilayah Palestin, dengan pusat pemeriksaan tentera Israel semakin berleluasa dalam dua tahun perang.
Media Palestin melaporkan pada Ahad bahawa keluarga tahanan dihubungi oleh pihak berkuasa Israel, meminta mereka untuk tidak menganjurkan perayaan besar-besaran.
“Tiada sambutan dibenarkan, sambutan tidak dibenarkan, tiada perhimpunan,” kata Alaa Bani Odeh, yang datang dari bandar utara Tammun untuk mencari anak lelakinya berusia 20 tahun yang dipenjarakan selama empat tahun.
AFP bercakap dengan beberapa banduan yang berkata, pada jam pertama dibebaskan, mereka akan pulang ke rumah dan tinggal bersama keluarga.
Dalam pada itu, ribuan rakyat Palestin bergema dengan sorakan kegembiraan di bandar selatan Gaza, semalam, ketika bas-bas Palang Merah membawa pulang hampir 1,700 bekas tahanan.
Ada yang memanjat sisi bas yang bergerak perlahan ketika ia melalui lautan manusia yang berkumpul di Hospital Nasser untuk memeluk atau mencium orang tersayang yang mereka kenali.
“Kegembiraan terbesar adalah melihat seluruh keluarga saya berkumpul untuk menyambut saya,” kata Yusef Afana, 25, seorang tahanan yang dibebaskan dari utara Gaza kepada AFP.
“Saya menghabiskan 10 bulan di dalam penjara dan antara hari paling sukar yang pernah saya lalui. Kesakitan di dalam penjara bukan hanya fizikal, ia adalah kesakitan jiwa,” katanya.
Di Hospital Nasser di Khan Yunis, lelaki berpakaian seragam tentera dan bertopeng hitam bergelut untuk mengawal keadaan ketika tahanan turun dari bas, diiringi laungan muzik patriotik dan kibaran bendera Palestin serta Hamas.
Seorang lagi bekas tahanan, Shadi Abu Sidu, 32, mendakwa dia dan tahanan lain didera di dalam penjara.
“Malah sejurus sebelum kami dibebaskan, mereka terus menganiaya dan menghina kami tetapi sekarang, kami berharap dapat memadam kenangan pahit itu dan memulakan hidup baharu,” katanya.
Pembebasan itu adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Gaza yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) membabitkan kira-kira 1,700 individu yang ditahan tentera Israel di Gaza dan 250 tahanan keselamatan.
Israel bersetuju membebaskan mereka sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza di bawah fasa pertama pelan Presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan perang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



