Brussels: Soudal Quick-Step tampil dengan barisan terbaik apabila menurunkan dua pelumba pecut utama mereka bagi menghadapi satu-satunya perlumbaan Jelajah Dunia (WorldTour), Tour Renewi di laman sendiri musim ini.
Juara Eropah, Tim Merlier akan bergandingan dengan pelumba muda berbakat, Paul Magnier dalam perlumbaan lima peringkat itu dengan misi jelas, memburu seberapa banyak kemenangan peringkat.
Apa yang bakal menjadi perhatian ialah bagaimana kombinasi dua pelumba pecut itu berfungsi sepanjang perlumbaan.
Bagi saingan juara keseluruhan , tanggungjawab bakal digalas Yves Lampaert.
Senarai pelumba pasukan itu turut dibarisi Ayco Bastiaens, Dries Van Gestel, Bert Van Lerberghe serta Warre Vangheluwe yang kembali memperkuatkan skuad selepas sekian lama diketepikan.
“Kami mempunyai pasukan yang baik, berupaya memburu lebih banyak sasaran minggu ini. Tim adalah sandaran kami bagi perlumbaan pecut beramai-ramai, manakala Paul boleh beraksi dengan baik di beberapa peringkat berbukit.
“Kami juga gembira Warre kembali bersama pasukan selepas sekian lama, pastinya memberi suntikan tambahan buat semua. Barisan ini cukup kuat dan bermotivasi, ia memberikan keyakinan bahawa kami mampu melalui minggu yang positif,” kata pengarah sukan Soudal Quick-Step, Wilfried Peeters.
© New Straits Times Press (M) Bhd




