MIDDLESBROUGH, United Kingdom: Pengendali England Gareth Southgate mengakui ejekan ke atas skuadnya ketika berlutut sebelum kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan bertemu Romania di Middlesbrough bukan sesuatu yang mengejutkan.
Perkara sama dihadapi skuad The Three Lions ketika menentang Austria Rabu lalu, juga di Stadium Riverside.
Kelmarin Southgate merayu kepada penyokong untuk menghormati pendirian pemain-pemain dalam isu berkenaan, tetapi menegaskan England akan terus menunjukkan sokongan terhadap kempen Black Lives Matter sepanjang Euro 2020.
22,000 penyokong dibenarkan menghadiri kesemua tiga perlawanan di Wembley dengan peraturan ketat berkaitan COVID-19 masih berkuat kuasa.
“Saya sedih apabila jangkaan saya tepat. Kami tidak akan berhenti daripada melakukannya atau apa yang kami percaya atau sokongan saya terhadap pemain dan kakitangan.
“Kami terpaksa mengharunginya. Tidak guna saya terus memperkatakan tentang ini,” kata Southgate berkenaan ejekan penyokong England.
Dalam aksi berkenaan, penalti Marcus Rashford – pemain ke-125 menjadi kapten England – memberikan kemenangan kepada skuad eksperimen Southgate.
Lima pemain yang bukan dalam skuad terakhirnya untuk Kejuaraan Eropah diturunkan dalam perlawanan menentang Romania itu.
Masih ada satu kekosongan dalam skuad 26 pemain England perlu diisi susulan kecederaan Trent Alexander-Arnold.
James Ward-Prowse, Ben Godfrey dan Ben White diberi peluang untuk memulakan permainan, manakala Jesse Lingard dan Ollie Watkins dimasukkan di babak kedua.
Kapten Liverpool Jordan Henderson beraksi 45 minit selepas rehat 106 hari akibat kecederaan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




