Spalletti di ambang pemecatan

Spalletti di ambang pemecatan

Oslo: Kempen kelayakan Piala Dunia 2026 buat Itali baru bermula tetapi sudah dihantui ketakutan terbesar, gagal layak ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Norway.

Perlawanan di Stadium Ullevaal menyaksikan Itali sekali lagi tumbang tanpa menunjukkan sebarang tanda kebangkitan, apabila tuan rumah mencatat tiga gol pada separuh masa pertama dan mengekalkan kelebihan itu sehingga wisel penamat.

“Cukup!” jerit muka depan Gazzetta dello Sport, menggambarkan rasa kecewa rakyat Itali terhadap prestasi skuad kendalian Luciano Spalletti, yang kini merekodkan tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir tanpa sebarang kemenangan.

Kekalahan itu juga hadir hanya seminggu selepas Inter Milan dibelasah 0-5 oleh PSG dalam final Liga Juara-Juara, menjadikan dua pasukan Itali, kelab dan negara, tewas teruk kepada lawan yang lebih lapar dan kreatif.

“Piala Dunia sudah dalam bahaya,” tulis Gazzetta dengan nada cemas, manakala La Repubblica pula menyiarkan tajuk utama: “Azzurri diaibkan di Oslo, mimpi ngeri playoff kembali.”

Dua dekad selepas menjulang Piala Dunia 2006 di Berlin, Itali terus bergelut.

Mereka tersingkir di peringkat kumpulan pada dua edisi berikutnya dan lebih mengejutkan, gagal layak ke Rusia 2018 dan Qatar 2022 selepas tewas playoff kepada Sweden dan Macedonia Utara.

Ironinya, kejayaan Itali di Euro 2020 kini semakin pudar dan dilihat sebagai pencapaian terpencil dalam era kegagalan berpanjangan.

Dalam aksi kelayakan kali ini, Itali belum beraksi dalam dua perlawanan awal kerana komitmen di Liga Negara-Negara, di mana mereka turut gagal mara ke separuh akhir selepas tewas kepada Jerman.

Kini, hanya juara kumpulan layak secara automatik, dan kekalahan kepada Norway menyebabkan Itali sudah ketinggalan jauh.

Mereka bakal menerima kunjungan Moldova di Rom pada awal pagi Selasa dan apa-apa selain kemenangan besar pasti akan memburukkan lagi keadaan.

Spalletti, yang selamat daripada pemecatan selepas kempen hambar di Euro 2024, kini semakin dihimpit tekanan dengan penyokong dan media tempatan mulai mendesak perubahan drastik di bangku kejurulatihan.

“Kami perlu bertindak. Tidak cukup sekadar menyalahkan keletihan atau kecederaan,” ulas bekas kapten Itali, Fabio Cannavaro, di stesen TV tempatan.

Sekiranya keputusan buruk berterusan, Itali bukan sahaja berisiko mengulang sejarah hitam, tetapi juga kehilangan identiti bola sepak yang pernah digeruni dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top