Spalletti puji semangat Juventus

Spalletti puji semangat Juventus

Turin: Juventus masih gagal mencari kemenangan pertama mereka dalam empat perlawanan berturut-turut di saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas sekadar seri 1-1 menentang Sporting, namun pengendali baharu, Luciano Spalletti, tetap berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya.

Juventus, yang kini mengutip tiga mata daripada empat perlawanan, ketinggalan seawal minit keenam menerusi jaringan Maximiliano Araujo, sebelum Dusan Vlahovic menyamakan kedudukan pada minit ke-34 untuk memastikan satu mata di laman sendiri.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan. Mereka menunjukkan karakter dan keinginan untuk menang,” kata Spalletti yang baru mengambil alih pasukan bulan lalu.

“Jika kami terus bermain begini, kemenangan akan tiba. Reaksi mereka dari awal permainan memberi saya keyakinan seluruh stadium faham apa yang cuba kami lakukan, dan itu tanda positif.”

Spalletti mula tonjolkan perubahanSpalletti dilantik menggantikan Igor Tudor, yang dipecat selepas lapan perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

Jurulatih berusia 65 tahun itu memulakan tugasnya dengan kemenangan Serie A ke atas Cremonese, namun gagal meneruskan momentum di pentas Eropah meskipun menunjukkan peningkatan dari segi taktikal dan semangat pasukan.

Pemain tengah, Teun Koopmeiners, turut mengakui Juventus menunjukkan banyak peningkatan, namun masih perlu memperbaiki beberapa aspek penting.

“Kami tunjukkan banyak perkara positif, tapi ada juga ruang untuk diperbaiki,” katanya kepada Sky Sports Italia.

“Saya rasa lebih selesa bermain di posisi tengah bertahan berbanding sebagai penyerang kedua seperti sebelum ini. Saya sudah beritahu jurulatih dan kelab mengenai perkara itu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top