KUANTAN: Segala urusan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip tadbir urus telus dan berperlembagaan.
Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan, dakwaan kononnya terdapat usul yang tidak dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) adalah tidak benar.
“Dua usul dirujuk iaitu Usul Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang serta Usul Siling Peruntukan Negeri bagi Projek Rancangan Negeri Pahang 2026-2030 telah dimasukkan secara rasmi dalam AUM bagi mesyuarat ketiga, penggal keempat DUN Pahang ke-15.
“Kedua-dua usul tersebut disenaraikan pada hari keenam persidangan, iaitu Jumaat, 12 Disember 2025 dan AUM telah diedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat seminggu sebelum persidangan bermula bersama fail persidangan yang mengandungi Rang Undang-Undang serta kertas-kertas berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai penjelasan isu yang dibangkitkan melalui rakaman video tular di media sosial TikTok bertarikh 12 Disember lalu, menyentuh mengenai usul dalam AUM dan pelaksanaan embargo dokumen persidangan.
Mohd. Sharkar turut menjelaskan bahawa isu ketiadaan dokumen perincian usul yang dibangkitkan oleh seorang Ahli Dewan adalah selaras amalan di beberapa DUN lain seperti Johor, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka yang mana dokumen perincian usul tidak diedarkan untuk penelitian awal.
Berhubung isu embargo dokumen sehingga hari akhir sidang, beliau menegaskan bahawa tindakan itu selaras Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri Pahang, khususnya Perkara 19(4) yang memperuntukkan bahawa semua kertas mesyuarat, rang undang-undang atau risalah mesyuarat diembargo sehingga tarikh pembentangan rasmi.
Katanya, tujuan embargo adalah bagi mengelakkan maklumat digunakan atau dipetik sebelum pembentangan rasmi serta memastikan tertib persidangan dipelihara.
“Dalam kes ini, dokumen berkaitan diembargo sehingga 12 Disember 2025, iaitu tarikh pembentangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kertas-kertas mesyuarat yang disenaraikan di bawah Urusan-Urusan Am dalam AUM adalah bagi tujuan pembentangan sahaja dan bukan untuk dibahaskan, kecuali jika satu usul khusus dikemukakan dan diluluskan oleh Dewan.
Bagi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Mohd. Sharkar berkata, Perkara 107(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan laporan tersebut mesti dibentangkan di hadapan DUN, namun, laporan hanya boleh dibahaskan sekiranya usul khas dikemukakan, disokong dan diluluskan.
“Sepanjang persidangan kali ini, tiada sebarang usul dikemukakan untuk membahaskan laporan atau penyata kewangan yang dibentangkan. Oleh itu, penetapan status embargo sehingga hari terakhir sidang bukan amalan luar biasa, malah turut dipraktikkan oleh DUN lain,” katanya.
Beliau menegaskan, DUN Pahang sentiasa bersikap terbuka dan bersedia meneliti serta mempertimbangkan perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Dewan atau pihak berkepentingan demi penambahbaikan berterusan dan pengukuhan institusi dewan negeri. – UTUSAN




