am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kuasa untuk menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan selepas usia Dewan Undangan Negeri (DUN) melebihi tiga tahun adalah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Speaker DUN Perlis, bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perkara itu sering disalah faham orang ramai susulan perkembangan politik semasa di negeri itu, khususnya berkaitan tiga kerusi DUN yang diisytiharkan mengalami kekosongan luar jangka.
Katanya, bagi kes di Perlis, terdapat dua perkara penting berkaitan kuasa Speaker yang perlu difahami dengan jelas.
“Pertama, Speaker mempunyai kuasa mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi tiga DUN di bawah Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, susulan status wakil rakyat berkenaan yang tidak lagi menjadi ahli parti politik asal.
“Kedua, Speaker juga berkuasa memaklumkan keperluan diadakan pilihan raya semula sekiranya berlaku keterjejasan majoriti ahli Dewan, berdasarkan proviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Ahmad berkata, notis yang dikeluarkan Speaker DUN Perlis pada 29 Disember 2025 mengandungi kedua-dua pemakluman berkenaan, iaitu pengisytiharan kekosongan luar jangka dan keperluan mengadakan PRK.
Bagaimanapun, katanya, situasi berubah apabila PAS memutuskan untuk terus menyokong keberadaan kerajaan Perlis walaupun tidak menerima sebarang lantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
“Dengan keputusan itu, isu keterjejasan majoriti ahli Dewan menjadi bersifat akademik,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad berkata, Speaker DUN Perlis mengeluarkan satu lagi surat pada 30 Disember 2025 bagi memaklumkan bahawa majoriti Dewan tidak terjejas, sekali gus menarik balik pemakluman mengenai keperluan mengadakan PRK.
Katanya, pemakluman berhubung kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan kekal berkuat kuasa.
“Ini bermakna, ketiga-tiga kerusi DUN tersebut akan kekal kosong sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya, iaitu sehingga tamat tempoh penggal,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada PRK perlu diadakan atau tidak, sebaliknya hanya bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan perjalanan pilihan raya.
“Sekiranya Speaker memaklumkan keperluan mengadakan pilihan raya, maka SPR wajib melaksanakannya.
“Sebab itulah Speaker DUN Perlis mengadakan sidang media kedua bagi memperjelaskan kedudukan sebenar perkara ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, DUN Perlis menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi tiga kerusi DUN yang dikosongkan secara luar jangka.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk jaminan PAS untuk terus komited bersama kerajaan negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN).
Katanya, tiga kerusi terbabit ialah DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji yang sebelum ini diumumkan kosong berikutan ketidaklayakan wakil rakyat PAS di bawah Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis/Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.
“Walaupun berlaku kekosongan, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas kerana PN masih memiliki majoriti besar dengan 11 daripada 15 kerusi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




