saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh optimis anak buahnya mampu memulakan kempen Piala Negara-Negara dengan keputusan positif apabila menentang Pakistan dalam aksi sulung Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Keyakinan itu hadir selepas beliau membuat ‘kerja rumah’ mengenai Pakistan dan mendapati enam pemain yang mewakili negara itu pernah beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim lalu.
Antara yang menjadi perhatian jurulatih berpengalaman itu adalah pakar pukulan sudut penalti, Sufyan Khan yang dianggap sebagai senjata utama dimiliki pihak lawan.
“Pakar pukulan sudut penalti utama mereka adalah Sufyan, kami rasa sudah dapat mengenalinya. Di Liga Hoki Malaysia dia ada menjaringkan gol di awal saingan, tetapi kemudian pasukan lain dapat membaca pergerakannya, jadi mereka dapat menghalangnya.
“Selain itu mereka juga mempunyai pemain yang bagus seperti Hannan (Shahid) dan Ammad Butt,” katanya mengenai ketiga-tiga pemain itu yang mewakili Matador Hockey Club pada saingan LHM, musim lalu.
Berdasarkan pengamatannya, Sarjit percaya kelebihan mengenali corak permainan pemain-pemain terbabit boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi merencatkan strategi Pakistan.
Mengulas lanjut mengenai peluang pasukannya dalam pertemuan penting itu, Sarjit menegaskan barisan pemain negara perlu tampil lebih tajam dan efisien di depan pintu gol.
“Pemain perlu mencipta lebih banyak peluang dan kemudian memanfaatkan peluang-peluang itu. Jika kita memanfaatkan peluang kita dan bertahan dengan baik, saya tidak nampak sebab mengapa kita tidak boleh berjaya,” katanya.
Selain Pakistan, Speedy Tigers juga bakal berdepan New Zealand dan Jepun dalam Kumpulan B manakala Kumpulan A terdiri daripada Korea Selatan, Perancis, Afrika Selatan dan Wales.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Speedy Tigers dalam kejohanan ini ialah berada di kedudukan keempat pada edisi pertama dan tempat ketujuh di edisi kedua.
Bagi edisi ketiga tahun ini, pengurus skuad hoki lelaki, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




