Speedy Tigers ikat Pakistan 3-3

Speedy Tigers ikat Pakistan 3-3
Antara aksi menarik Malaysia menentang Pakistan pada Ahad.

Antara aksi menarik Malaysia menentang Pakistan pada Ahad.

SKUAD hoki lelaki negara bangkit daripada ketinggalan apabila mengikat Pakistan 3-3 dalam saingan Piala Negara-Negara 2025 di Bukit Jalil sebentar tadi.

Dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B itu, anak buah Sarjit Singh dalam misi menamatkan kemarau kemenangan ke atas musuh tradisi tersebut sejak 2023.

Biarpun bermula dengan penuh semangat di Stadium Nasional Hoki, namun kelekaan benteng Speedy Tigers dihukum Ahmed Nadeem pada minit keenam.

Tiga minit berselang para pemain negara dikejutkan pula dengan jaringan Abdul Rehman.

Menjengah minit ke-49, Fitri Saari merapatkan jurang gol buat Speedy Tigers.

Pemain negara kemudian memperkemaskan corak permainan dan ia nyata berhasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Syed Syafiq Syed Cholan tidak mengecewakan apabila menewaskan Muneeb di gawang pada minit ke-53.

Bagaimanapun keceriaan kem Malaysia hanya bertahan seminit apabila Abdul Wahed Asyraf Rana kembali meletakkan Pakistan di depan.

Jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Speedy Tigers apabila kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi pukulan sudut penalti Syed Syafiq.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan untuk memburu gol kemenangan, namun keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia dan Pakistan menduduki tempat kedua dan ketiga dengan satu mata di belakang New Zealand.

New Zealand memimpin Kumpulan B selepas menewaskan Jepun 2-1.

Malaysia pada Isnin akan menentang New Zealand, manakala Pakistan pula dijadual berdepan Jepun.

Scroll to Top