Speedy Tigers intai empat terbaik Piala Negara-Negara

Speedy Tigers intai empat terbaik Piala Negara-Negara

SKUAD hoki lelaki negara meletakkan sasaran realistik mara ke saingan separuh akhir Piala Negara-Negara 2025 di laman sendiri pertengahan bulan ini.

Ketika mengumumkan senarai 20 pemain, Pengurus Pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak optimis sasaran tersebut mampu dicapai menerusi persediaan yang dibuat oleh skuad bimbingan Sarjit Singh ketika Jelajah Australia dan Korea Selatan baru-baru ini.

“Sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik. Selepas itu kita akan lihat semula dan berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai hala tuju pasukan,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Kejohanan edisi ketiga itu bakal disertai lapan pasukan dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Jepun dan New Zealand, manakalai Kumpulan A melibatkan Perancis, Afrika Selatan, Korea dan Wales.

Ahmad Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan turut berharap skuad Speedy Tigers dapat meningkatkan kualiti permainan menjelang kejohanan tersebut yang dijadual bermula 15 hingga 21 Jun depan.

“Sebagai persediaan akhir, kita akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Wales pada 13 Jun jam 5 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Sarjit turut menyatakan keyakinan terhadap kemajuan yang dicapai pasukan selepas mengharungi siri perlawanan di Australia dan Korea Selatan.

“Kami nampak peningkatan dalam aspek permainan padang, namun tumpuan akan turut diberikan kepada pukulan sudut penalti, serangan dan tempo bertahan,” katanya.

Justeri katanya, skuad menaruh harapan kepada tiga flicker berpengalaman yang kembali dalam pasukan selepas mengalami kecederaan iaitu Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan selain dua tenaga muda, Muhamad Faris Harizan dan Muhammad Arif Syafie Ishak.

“Di Korea, kami memperoleh sebanyak 23 pukulan sudut penalti, namun hanya berjaya meledak lima gol. Pada masa sama, kami melepaskan 25 pukulan sudut penalti kepada lawan

dan mereka menghasilkan lima jaringan.

“Jadi daripada segi statistik, kami perlu perbaiki kedua-dua aspek menyerang dan bertahan. Ia bukan keputusan yang terlalu buruk, tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Speedy Tigers dijadual membuka tirai kempen berdepan Pakistan pada 15 Jun, disusuli menentang New Zealand keesokannya dan menutup aksi kumpulan bertemu Jepun pada 18 Jun.

Scroll to Top