Speedy Tigers perlu sasar juara hoki Sukan Asia 2026

Speedy Tigers perlu sasar juara hoki Sukan Asia 2026

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara perlu berani meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu muncul juara Sukan Asia Aichi-Nagoya kerana ia menawarkan tiket cukup berharga iaitu beraksi di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemerhati sukan hoki tempatan, I Vikneswaran menegaskan Malaysia sebenarnya memiliki kemampuan untuk mencapai sasaran itu, lebih-lebih lagi dengan nafas baharu yang dibawa oleh ketua jurulatih hoki negara, Brendon Carolan.

“Ini bukan sesuatu yang mustahil. Kita pernah kalahkan India pada 2018 ketika mereka ranking nombor satu dunia dan ramai pemain dari skuad itu masih ada.

“Saya nampak ada motivasi baharu, cara jurulatih melihat sesuatu perkara juga berbeza. Dalam beberapa bulan ini, perancangan dan apa yang mereka lakukan sangat penting,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Justeru, untuk memastikan perkara itu menjadi realiti, beliau menyatakan beberapa aspek yang perlu diberi perhatian segera adalah memperkemaskan pertahanan serta meningkatkan keupayaan melakukan penembusan ke dalam kawasan ‘D’ bagi menghasilkan gol.

Mengulas cabaran jadual padat dengan tiga kejohanan besar iaitu Piala Negara-Negara, Piala Dunia dan Sukan Asia dalam tempoh singkat, Vikneswaran melihat keperluan untuk skuad negara menetapkan keutamaan jelas.

“Piala Negara-Negara adalah platform untuk melihat peranan setiap pemain. Selepas itu, barulah kita nilai keupayaan mereka untuk Piala Dunia dan Sukan Asia.

“Tapi jarak antara Piala Dunia dan Sukan Asia terlalu dekat. Nak capai prestasi puncak dua kali memang sukar, jadi kena pilih satu fokus utama. Emas Sukan Asia memberi tiket automatik ke Olimpik Los Angeles dan juga kelebihan dari segi sokongan. Jadi kita juga kena jelas keutamaan dalam hal ini,” katanya.

Disebabkan itu, secara realistik, beliau berpendapat pentas Sukan Asia adalah terbaik buat Malaysia mencapai prestasi memuncak berbanding Piala Dunia yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia.

“Di Piala Dunia, kita lawan pasukan terbaik dunia. Di Sukan Asia, tahap itu sedikit berbeza dan itu peluang untuk kita. Kalau dah sasar final, lebih baik sasar jadi juara. Kalau sekadar naib juara, kita tetap kena lalui pusingan kelayakan,” katanya.

Sebelum ini, Carolan menyatakan fokus utama Speedy Tigers adalah temasya Sukan Asia di Jepun itu dan akan melakukan persiapan terbaik agar sasaran yang ditetapkan itu mampu tercapai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top