
Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan hari ini dengan misi wajib menang.
KETUA Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh tetap optimis peluang Malaysia untuk mara ke final Piala Asia masih cerah biarpun skuad negara tumbang 1-4 kepada tuan rumah India dalam aksi kedua pusingan Super 4 di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar.
“Kita bukan dalam kesukaran, peluang masih ada dengan syarat kita perlu tewaskan Korea Selatan untuk mara ke final,” katanya.
Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan hari ini dengan misi wajib menang, namun bekalan moral memihak Speedy Tigers selepas mereka menewaskan lawan sama 4-1 dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Selepas dua perlawanan, India mendahului carta dengan empat mata, manakala China dan Malaysia berkongsi tiga mata tetapi skuad negara berada di tempat ketiga berdasarkan perbezaan gol.
Korea Selatan pula sekadar mengutip satu mata di tangga terakhir carta Super 4.