KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan wajib mara ke final dalam aksi kelayakan untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda pada Ogos depan.
Ketua Jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, beliau optimis barisan pemain mampu menepati sasaran yang ditetapkan dalam kempen kelayakan di Ismailia, Mesir pada 1 hingga 8 Mac ini.
“Sudah tentu, seperti yang saya katakan, adalah lebih baik untuk kami beraksi di final, kita ada pemain dan mereka telah berusaha keras.
“Kita patut main di final untuk memastikan kita layak ke Piala Dunia sebab kalau kita main dalam penentuan tempat ketiga, ia akan menambahkan lagi tekanan.
“(Jika beraksi dalam penentuan tempat ketiga pada 7 Mac) kita juga akan berdepan kekurangan sebab satu lagi aksi kelayakan yang berlangsung di Chile diadakan pada 8 Mac,” kata Sarjit.
Malaysia turun selaku pilihan kedua bakal memulakan cabaran Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Austria pada 1 Mac, kemudian menentang Pakistan keesokannya sebelum bertemu China (4 Mac).
Ditanya apa yang akan berlaku sekiranya Malaysia gagal menempah tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2026, Sarjit enggan mengulas lanjut, sebaliknya yakin dengan pemain negara.
“Saya fikir saya positif, saya tak fikir pun pasal itu. Kami akan layak ke Piala Dunia. Soalan itu awak boleh simpan dan tanya apabila tiba pada masanya,” katanya.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia pada edisi 2023 di India dan menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan.-UTUSAN




