WASHINGTON – Syarikat penerbangan tambang rendah Amerika Syarikat (AS), Spirit Airlines telah menghentikan operasi sepenuhnya pada Sabtu, lapor Reuters.
Keputusan tersebut dibuat selepas syarikat itu gagal mendapatkan pakej penyelamat bernilai AS$500 juta daripada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Keadaan itu berpunca daripada kenaikan mendadak harga bahan api susulan perang AS–Israel dengan Iran yang berlarutan sejak dua bulan lalu.
Penutupan Spirit dijangka mengakibatkan ribuan kehilangan pekerjaan dan menjadi syarikat penerbangan pertama yang tumbang.
Menurut sumber, Spirit akan melaksanakan penutupan secara berperingkat termasuk menghentikan penerbangan, menyusun semula pesawat untuk dipulangkan serta menghantar pulang kru penerbangan.
Dalam usaha melindungi pengguna, Rumah Putih dilaporkan telah menghubungi beberapa syarikat penerbangan bagi membantu penumpang yang memiliki tiket Spirit.
Antara syarikat yang bersedia menyokong ialah United Airlines, American Airlines, Frontier Airlines dan JetBlue Airways.
Presiden Persatuan Pramugari, Sara Nelson memberi amaran bahawa penutupan itu boleh menjejaskan hampir 20,000 pekerjaan dan menggesa tindakan segera kerajaan.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, berkata, kejatuhan Spirit bukan disebabkan perang Iran semata‑mata, sebaliknya berpunca daripada kelemahan model perniagaan dan masalah kewangan yang berlarutan sejak bertahun‑tahun.
Terdahulu, sumber memaklumkan pentadbiran Trump sebelum ini mencadangkan pembiayaan AS$500 juta sebagai pertukaran kepada pegangan ekuiti sehingga 90 peratus dalam Spirit.
Namun cadangan itu mendapat tentangan daripada sebahagian penasihat dan anggota Republikan di Kongres serta pemegang bon syarikat.
Kesan ketidaktentuan tersebut turut dirasai di pasaran saham apabila nilai saham Spirit menjunam 25 peratus pada Jumaat, manakala saham pesaing seperti Frontier Airlines melonjak 10 peratus dan JetBlue Airways meningkat empat peratus.
Sebelum ini, Spirit merancang pelan pemulihan dengan jangkaan harga bahan api jet sekitar AS$2.24 segelen bagi 2026 dan AS$2.14 bagi 2027.
Namun, lonjakan harga kepada sekitar AS$4.51 segelen pada akhir April, hampir dua kali ganda daripada unjuran itu telah menjejaskan pelan dan menggagalkan usaha syarikat untuk keluar daripada pemfailan muflis kali kedua.



