SPM 2024: 1,300 pelajar cemerlang Terengganu bakal terima insentif tunai

SPM 2024: 1,300 pelajar cemerlang Terengganu bakal terima insentif tunai

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kira-kira 1,300 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan menerima inisiatif wang tunai.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Rozi Mamat berkata, inisiatif wang tunai itu diberikan sebagai menghargai jasa dan usaha pelajar sehingga memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan SPM 2024.

“Kita juga bersetuju untuk memberi anugerah khas kepada sekolah dan pengetua cemerlang sempena pelancaran pengagihan inisiatif pelajar cemerlang.

“Majlis penyampaian inisiatif anugerah khas kepada sekolah serta pengetua cemerlang peringkat negeri akan diadakan pada pertengahan bulan depan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan Umno negeri di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Ketengah Holding Sdn Bhd Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Bagaimanapun, Rozi yang juga Pengerusi Majlis Penasihat GiatMara negeri enggan mengulas lanjut jumlah inisiatif akan diberikan kepada pelajar yang memperoleh keputusan 8A ke atas peperiksaan SPM 2024.

Katanya, program inisiatif kepada pelajar dan anugerah khas sekolah serta pengetua cemerlang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) serta Ketengah Holding Sdn Bhd.

Dalam perkembangan lain, Rozi berkata, sebanyak 50 ekor lembu akan dikorbankan pada Majlis Korban Perdana sempena Aidiladha pada Sabtu ini.

Menurutnya, majlis korban perdana itu akan diadakan di Kampung Baru 23, Ajil pada pada hari raya ketiga iaitu Isnin depan.

“Sebanyak 12 ekor lembu akan disembelih pada majlis peringkat negeri itu, manakala bakinya akan dilaksanakan di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top