am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang bapa teruja dapat berkongsi kejayaan bersama anak perempuannya apabila mereka masing-masing memperoleh keputusan cemerlang 7A dan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
R Baskaran, 58 mengambil keputusan menduduki semula peperiksaan SPM bersama anak bongsunya, B Dannya, 18, untuk mencabar dirinya bahawa usia bukan penghalang, selain mahu memberikan inspirasi kepada generasi muda mengenai kepentingan menjadi manusia berilmu.
Menurut penyelia perubatan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) itu, beliau amat mencintai bidang pendidikan apabila mendedikasikan seluruh hidupnya dengan belajar di peringkat ijazah hingga doktor falsafah (PhD).
“Saya memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan, kemudian sambung di peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan sehingga ijazah kedoktoran dalam pentadbiran perniagaan dari sebuah kolej swasta.
“Selepas habis belajar di semua peringkat tinggi, saya rasa nak cuba aplikasikan apa yang saya belajar di peringkat bawah, selain mahu menemani serta memberi sokongan kepada anak bongsu saya.
“Tambahan pula, melihat silibus SPM nampak susah, jadi saya nak cabar diri… ternyata walaupun umur saya sudah meningkat tetapi jika kita mahu segala-galanya akan menjadi mudah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dia juga ingin memperbaiki keputusan SPM yang diperolehnya pada 1984 yang ketika itu dia hanya memperoleh pangkat dua.
“Semasa anak pertama dan kedua saya nak ambil SPM semula tapi banyak halangan, ini tinggal anak bongsu, jadi saya ambil kesempatan ini kerana mahu memberikan sokongan kepadanya.
“Kami belajar dan ulangkaji bersama-sama dengan menonton Youtube yang banyak memberikan teknik menjawab soalan, apabila anak saya tidak faham, saya akan ajarnya dan apabila saya tidak faham dia pula ajar saya yang apabila kami dua-dua tidak faham, dia akan rujuk kepada gurunya.
“Begitulah cara kami belajar dan sebagai bapa ia sesuatu yang menyeronokkan apabila kami dapat mempamerkan rasa kasih sayang kami anak beranak dalam menuntut ilmu,” katanya yang menduduki peperiksaan SPM dengan anaknya di Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam.
Baskaran berkata, dia memberi laluan pendidikan untuk anak-anaknya dan berharap dapat digunakan bagi memastikan mendapat kehidupan lebih cerah.
“Saya amat mementingkan pendidikan dan sangat memberikan galakan kepada anak-anak untuk berusaha demi masa depan mereka.
“Jika saya boleh, mesti mereka juga boleh dan berharap ia memberi inspirasi kepada generasi muda pada masa ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




