Tanjong Malim, 3 Jun 2025 – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 telah diumumkan pada 24 April 2025 (Khamis) yang lalu. Tarikh keramat tersebut sudah tentunya menjadi detik-detik yang ditunggu oleh ibu bapa, pihak sekolah dan semestinya para pelajar SPM 2024. Gred Purata Kebangsaan (GPK) bagi SPM 2024 telah berjaya menunjukkan peningkatan prestasi keseluruhan pelajar iaitu darpada 4.60 pada tahun 2023 kepada 4.49 pada tahun 2024 sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013. Hal ini telah membuktikan bahawa inisiatif yang diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuahkan hasil dan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini. Walaupun peningkatan ini tidak dikaitkan secara langsung dengan pendigitalan, namun tidak dapat dinafikan bahawa akses kepada sumber digital dan platform pembelajaran dalam talian pasca pandemik telah menyediakan landasan yang kukuh untuk kejayaan calon SPM tahun 2024.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited dalam merealisasikan sekolah digital di seluruh negara, sekali gus melahirkan generasi pelajar yang celik teknologi dan bijak memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran. Menurut laporan Astro Awani, semasa lawatan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Haji Azman Adnan di Sekolah Kebangsaan Seri Telok, Batu Pahat, beliau menyatakan platform digital yang dibangunkan oleh KPM mencapai 90 peratus kadar penggunaan Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital (DELIMa) dalam kalangan guru, manakala pelajar pula menunjukkan keaktifan tinggi dalam penggunaan teknologi digital. Usaha ini selaras dengan arus global yang menekankan integrasi teknologi dalam sistem pendidikan, yang kini memberi kesan positif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan digital ini bukan sahaja menarik minat pelajar, malah membina kemahiran abad ke-21 serta mendorong peralihan daripada bilik darjah tradisional kepada suasana pembelajaran yang lebih fleksibel dan interaktif.
Datuk Haji Azman Adnan (kiri) menunjukkan tablet yang digunakan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Telok, Batu Pahat, untuk memainkan muzik tradisional gamelan, yang telah dimodenkan sepenuhnya dalam bentuk digital. -fotoBERNAMA
Platform pembelajaran digital memudahkan pelajar untuk mengakseskan pelbagai sumber maklumat sekaligus dapat memperkukuhkan konsep pembelajaran melalui aktiviti yang interaktif. Penggunaan elemen gamifikasi dan multimedia mampu menarik minat pelajar sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam atau luar bilik darjah. Teori Kognitif Pembelajaran Multimedia yang dikemukakan oleh Mayer menjadi sandaran pada pembelajaran digital ini memfokuskan kepada aspek perkataan dan visual termasuk penggunaan warna menjadi sokongan pembelajaran yang optimum. Misalnya, menerusi kajian oleh Esther dan Ruhizan (2024) mendapati pelajar Tingkatan 4 dan 5 di Serian, Sarawak menunjukkan peningkatan motivasi serta prestasi dalam subjek Fizik selepas menggunakan aplikasi pembelajaran interaktif. Ini menunjukkan bahawa motivasi yang tinggi, didorong oleh kaedah digital yang menarik, mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
Tambahan itu, KPM menggalakkan penggunaan platform pembelajaran dalam talian seperti Google Classroom, Microsoft Teams, dan Zoom dalam mengendalikan sesi pembelajaran secara interaktif semasa tempoh pandemik dan masih relevan semasa pasca pandemik bagi mengendalikan pembelajaran ketika keadaan di luar jangkaan. Salah satu platform digital yang semakin mendapat sambutan yang hangat terutamanya di kalangan calon-calon SPM ialah MCPLUS. MCPLUS telah mencapai jumlah tontonan 1.6 juta dalam masa 3 minggu. Penggunaan aplikasi pembelajaran seperti Kahoot, Quizizz, dan Duolingo turut membantu menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan. Hal ini kerana kaedah ‘Chalk and Talk’ kurang sesuai dengan pemikiran dan perkembangan minda para pelajar di era digital ini.
Kejayaan SPM 2024 bukan hanya sekadar keputusan di atas kertas, namun kejayaan ini merupakan bukti bahawa pendekatan pendidikan digital yang diusahakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti penggunaan inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital melalui pelantar DELIMa telah menunjukkan impak yang positif. Melalui komitmen yang berterusan oleh pihak KPM, pendidik, ibu bapa dan para pelajar dalam memacu transformasi digital, sistem digital dalam bidang pendidikan di Malaysia diyakini akan terus berkembang seiring dengan cabaran masa hadapan yang semakin mencabar dan berdaya saing.
Oleh Nor Haifaa, Nurul Athirah & Dr Mohd Mokhzani
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


