WATAK animasi yang selama ini dikenali menerusi skrin kini dibawa ke alam nyata apabila Resorts World Genting (RWG) memperkenalkan pengalaman imersif Spookadilly x Kisah Bawah Tanah sempena Halloween tahun ini.
Spookadilly ialah filem animasi pendek terbitan RWG pada 2020, manakala Kisah Bawah Tanah merupakan siri animasi tempatan yang digabungkan dalam pengalaman berkenaan menerusi penganjuran The Haunted Highlands 2026.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, kerjasama itu sebahagian daripada usaha pihaknya membangunkan animasi mereka sebagai harta intelek hiburan sendiri dengan watak, cerita dan identiti tersendiri.

Dari kiri, Wong Kuan Loong, Pengarah Kisah Bawah Tanah; Hendra Wardi, Pencipta Bersama Kisah Bawah Tanah; Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi; Aaron Chia, Ketua Pegawai Operasi Resorts World Genting; dan Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting.
“Bagi kami, amat menarik untuk melihat bagaimana dua dunia berbeza boleh disatukan tanpa menghilangkan keistimewaan masing-masing.
“Spookadilly mempunyai personaliti tersendiri yang ceria, manakala Kisah Bawah Tanah pula membawa watak serta penceritaan yang diinspirasikan daripada cerita rakyat,” katanya ketika pelancaran Spookadilly x Kisah Bawah Tanah di sini pada Selasa.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menyaksikan kerjasama antara RWG dan Kisah Bawah Tanah.
Menurut Spencer, kerjasama itu turut membuka ruang kepada RWG untuk memperkenalkan karya kreatif, cerita dan watak tempatan kepada pengunjungnya, selain membantu pihaknya memahami cara pengunjung berinteraksi dengan Spookadilly bagi mengembangkan pengalaman baharu pada masa depan.
Pada masa sama, Pengasas bersama Kisah Bawah Tanah, Hendra Wardi berkata, kerjasama dengan RWG hanya enam bulan selepas animasi berkenaan memulakan perjalanannya merupakan pencapaian bermakna buat pihaknya.
Menurutnya, pengalaman tersebut bermula apabila watak Shrunken Head muncul daripada satu rekahan misteri mencetuskan kekacauan di dunia Bawah Tanah sebelum pengunjung menyertai Bonediddy, Pocing, Zack, Sam dan rakan-rakan mereka dalam misi memulihkan keadaan.
Pengembaraan itu merangkumi lima zon iaitu RnR, Cahaya Apartments, Spookadilly Graveyard, Spookadilly Mansion dan The Mart dengan setiap ruang menampilkan latar, watak serta kejutan tersendiri.
Spookadilly x Kisah Bawah Tanah ditawarkan pada harga RM30 seorang menjadi antara tarikan The Haunted Highlands 2026 yang berlangsung di RWG sehingga 20 November.
Pengunjung yang mahukan cabaran lebih mendebarkan boleh mencuba The Echo Asylum, pengalaman seram yang bertemakan hospital sakit jiwa terbiar dari era 1950-an, pada harga RM78 seorang manakala pakej Horror Adventure berharga RM128 pula merangkumi kemasukan ke kedua-dua pengalaman berkenaan serta tiket satu hari Genting SkyWorlds Standard.
The Haunted Highlands 2026 turut menampilkan perarakan, persembahan secara langsung, sesi bertemu watak serta sajian makanan dan minuman bertemakan Halloween, selain Halloween Live Experience Concert 2026 pada 31 Oktober di Arena of Stars.



