Lisbon: Viktor Gyokeres akhirnya bersuara mengenai masa depannya di media sosial selepas Arsenal membuat tawaran pertama bagi mendapatkan penyerang Sporting itu.
Penyerang berusia 27 tahun itu menarik minat pelbagai kelab gergasi Eropah pada jendela perpindahan musim panas ini selepas dua musim yang luar biasa di Portugal.
Sejak menyertai Sporting dari Coventry City pada 2023, pemain antarabangsa Sweden itu sudah menjaringkan 97 gol dalam 102 perlawanan dalam semua kejohanan.
Tidak hairanlah jika pencapaian itu mencetuskan persaingan hangat untuk mendapatkan tandatangannya, dengan minat datang dari England, Itali dan Sepanyol.
Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk Arsenal, Manchester United dan Liverpool dilaporkan berminat, manakala Juventus, Napoli, Atletico Madrid dan kelab Arab Saudi, Al Hilal, juga disebut-sebut sebagai destinasi berpotensi.
Setakat ini, Gyokeres belum banyak mengulas secara terbuka mengenai masa depannya, namun beliau akhirnya tampil memberi kenyataan berhubung spekulasi yang sedang hangat diperkatakan.
Menerusi hantaran di Instagram, Gyokeres menulis: “Terlalu banyak spekulasi ketika ini, kebanyakannya tidak benar. Saya akan bersuara apabila tiba masanya.”
Kenyataan itu dimuat naik pada hari yang sama laporan media mendakwa Arsenal mengemukakan tawaran bernilai €55 juta (RM275 juta) secara tetap, dengan tambahan €10 juta (RM50 juta) sebagai insentif berdasarkan prestasi.
Bagaimanapun, Sporting dijangka menolak tawaran itu yang masih memenuhi permintaan kelab Portugal itu yang meletakkan harga €80 juta (RM400 juta) bagi penyerang prolifik mereka.
Rundingan antara Arsenal dan Sporting dijangka akan diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd