SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 13,263 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12,669 kertas undi pos dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media di bawah Kategori 1A.
Beliau berkata, sebanyak 343 kertas undi pos dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara di bawah Kategori 1B, manakala 251 lagi kepada pegawai daripada 11 agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan di bawah Kategori 1C.
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi serta mengisi Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul.
Kertas undi berkenaan perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkenaan sebelum 5 petang pada hari pengundian, iaitu 1 Ogos.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengundi supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menularkannya menerusi media sosial.
Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 1 Ogos, manakala pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai.
Berdasarkan Daftar Pemilih SPR yang dikemas kini sehingga 4 Jun 2026, Negeri Sembilan merekodkan 889,490 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal. – Bernama



