hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dalam kes berprofil tinggi memfokuskan kepada penyitaan dan pelucuthakan aset-aset luar biasa yang berkaitan Allayarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga dan rangkaian sekutunya.
SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilikan aset luar biasa bernilai tinggi di 11 negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika bernilai lebih RM3 bilion.
Menurutnya, ia berdasarkan maklumat siasatan terkini hasil daripada kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasa di United Kingdom iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).
“SPRM sudah memperoleh Perintah Halangan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset tak alih dan alih di United Kingdom dianggarkan bernilai RM758 juta.
Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara, manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, permohonan perintah halangan terhadap aset di Singapura dan Jersey juga sudah difailkan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2025, dengan pendengaran permohonan berlangsung pada 23 dan 25 Jun 2025.
Menurut kenyataan itu, antara aset terbabit ialah empat akaun bank dan pelaburan bernilai RM1.15 bilion di Jersey dan 12 akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta di Singapura.
“Selain itu, permohonan maklumat lanjut berkaitan aset di Amerika Syarikat, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun sedang dikemukakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, IACCC dan permohonan MLA melalui Pejabat Peguam Negara bagi membolehkan tindakan lanjut penyitaan dan pelucuthakan aset dilaksanakan secara sah dan menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan memaklumkan di peringkat domestik, pihaknya sudah memperoleh perintah penyitaan terhadap Menara Ilham pada 4 Jun lalu dan tindakan sitaan dilaksanakan pada 5 Jun lalu.
Katanya, permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan mengikut Seksyen 56, AMLATFPUAA 2001 sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.
“SPRM juga sudah merakamkan keterangan Toh Puan Na’imah Khalid dan anak beliau, Muhammed Amir Zainuddin Daim, pada 14 Jun lalu berkaitan pemilikan aset luar biasa yang tidak diisytiharkan.
“Seterusnya, keterangan akan dirakam daripada anak kedua mereka, Muhammed Amin Zainuddin Daim yang kini berada di United Kingdom.
“Ketiga-tiga individu ini adalah pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat yang memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenalpasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) kepada Menara Ilham,” katanya.
Kenyataan itu berkata, Notis Pengisytiharan Harta diserahkan bermula 10 Julai 2025 kepada 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat kepada Allayarham Tun Daim dan Toh Puan Na’imah bagi tujuan pengesanan dan pengesahan pemilikan aset, selaras Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
SPRM menegaskan tindakan itu adalah sebahagian daripada fungsi dan peranan pihaknya untuk memastikan tiada unsur amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.
“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd