SPRM bantu JKM Sarawak perkasakan integriti tatakelola

SPRM bantu JKM Sarawak perkasakan integriti tatakelola

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak mengadakan satu sesi Pembentangan Laporan Penambahbaikan Tatakelola anjuran kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Pejabat JKM Sarawak baru-baru ini.

Sesi pembentangan itu diketuai Pengarah SPRM Negeri Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh.

Turut serta pada sesi pembentangan itu adalah Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sarawak, Mohd Hamzah Abdullah.

JKM Sarawak pula diwakili Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Semawi Mohamad.

Sebanyak empat kelemahan dikenalpasti dan tujuh penambahbaikan dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk dilaksanakan JKM Sarawak.

Antara cadangan penambahbaikan adalah memperkenalkan `job rotation’ ( penggiliran tugas) untuk tempoh tiga tahun bagi setiap pegawai dan kakitangan JKM yang berurusan langsung dengan pembekal untuk pembelian peralatan bantuan.

Turut dicadangkan adalah pendedahan melalui taklimat awal berkaitan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) kepada pembekal.

Cadangan turut mewajibkan pegawai yang terbabit dalam pengurusan kewangan hadir Kursus Tatacara Kewangan.

Selain itu wujud cadangan meletakkan klausa peringatan mengenai larangan menerima sebarang bentuk ganjaran atau hadiah daripada pembekal.

Tindakan tegas juga perlu diambil dengan mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai yang tidak hadir dalam mesyuarat penilaian.

Wujud juga cadangan melaksanakan pengauditan kewangan ke atas JKM berkenaan GP secara berkala selain menyerahkan satu Salinan Indeks mesyuarat penilaian kepada GP bagi memastikan syor penilaian disemak oleh pegawai penyemak.

Selain itu SPRM mencadangkan JKM membuat naziran silang di semua Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) JKM.

Sebelum ini empat pegawai JKM Negeri Sarawak, Bahagian Miri disiasat SPRM selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan nilai keseluruhan suapan berjumlah RM65,000.

Difahamkan, keempat-empat pegawai JKM terbabit dipercayai meminta dan menerima bayaran sebanyak 10 peratus daripada nilai tuntutan perolehan pembekalan barangan yang dikemukakan syarikat-syarikat pembekal.

Kertas siasatan kes itu sudah dibuka SPRM pada tahun 2024 dan kini sudah lengkap untuk tindakan pendakwaan.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top