SPRM, BIM meterai MoU perkukuh integriti komuniti profesional

SPRM, BIM meterai MoU perkukuh integriti komuniti profesional

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti dalam kalangan komuniti profesional negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jalinan kerjasama itu dilihat membuka peluang baharu kepada SPRM untuk berkolaborasi dengan pelbagai bidang professional dalam usaha mendidik masyarakat untuk bersama-sama memerangi rasuah.

Beliau berkata, mesej antirasuah serta amalan tadbir urus baik perlu disampaikan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan tidak alpa terhadap kepentingannya.

“Perkara-perkara baik seperti mesej antirasuah dan amalan tadbir urus baik perlu diulang-ulang supaya masyarakat tidak leka.

“Pada masa sama, kita perlu melaksanakan strategi media dan pelan komunikasi yang berkesan bagi memastikan penyampaian mesej ini benar-benar sampai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani MoU di antara SPRM dan BMI di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, jalinan kerjasama itu adalah langkah penting dalam memperkasa budaya antirasuah, di samping memperluas kesedaran mengenai kepentingan etika, ketelusan dan tadbir urus baik dalam pelbagai bidang profesional.

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program kesedaran integriti, advokasi antirasuah, sesi perkongsian ilmu, aktiviti pembangunan kapasiti serta usaha mempromosikan tadbir urus baik dalam kalangan badan profesional.

Pada majlis MoU itu, SPRM diwakili oleh Azam manakala BIM oleh Presidennya, Prof ChM Dr Juan Joon Ching.

Sementara itu, Prof Juan berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BIM dalam menjadikan integriti sebagai nilai teras merentas semua profesion.

“MoU ini mencerminkan komitmen bersama untuk membudayakan penolakan terhadap rasuah serta menggalakkan amalan beretika dalam semua sektor,” katanya.

Beliau berharap kerjasama itu mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan profesional, sekali gus memperkukuh amalan beretika dalam semua sektor.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim dan Pengerusi Perhubungan Kerajaan BIM, Prof Dr Othman Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top