SPRM buka kertas siasatan kelemahan tatakelola e-waste

SPRM buka kertas siasatan kelemahan tatakelola e-waste

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan tatakelola berhubung pengurusan sisa elektronik (e-waste) susulan Op Nature dan akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya ada keperluan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, tindakan itu diambil susulan operasi yang dijalankan serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di Klang serta Nilai, di sini, semalam.

Katanya, selain siasatan berkaitan kesalahan jenayah rasuah, SPRM turut menumpukan kepada aspek tatakelola bagi mengenalpasti punca dan kelemahan yang menyumbang kepada isu pengurusan e-waste.

“Kelemahan tatakelola yang tidak ditangani dengan baik akan membuka ruang kepada perlakuan jenayah rasuah serta pengimportan haram e-waste untuk terus berulang.

“SPRM telah membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti punca dan mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan isu ini berlarutan.

“Ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut merugikan hasil pendapatan negara,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut Azmi, antara isu awal yang dikenal pasti adalah berkaitan aspek pemantauan dan tindakan susulan terhadap pengurusan e-waste.

“Bagaimanapun, ia hanya dapat disahkan selepas penyiasatan tatakelola yang lengkap diselesaikan.

“SPRM tidak menolak kemungkinan isu sama berlaku di negeri-negeri lain dan penyiasatan tatakelola akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya terdapat keperluan,” katanya.

Katanya, SPRM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkepentingan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pasukan Petugas Khas E-Waste yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“SPRM berharap setiap agensi yang terlibat dapat memainkan peranan dengan lebih tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top