suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Empat cadangan penambahbaikan tatakelola dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kepada Persatuan Pegawai Kanan Malaysia (PERKASA) bagi memperkukuh pengurusan dana dan tajaan daripada pihak luar.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya permohonan sumbangan oleh PERKASA tidak ditujukan kepada syarikat yang mempunyai urusan rasmi secara langsung dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Selain itu, katanya, program yang dibiayai melalui sumbangan dicadangkan bersifat inklusif supaya manfaatnya bukan sahaja untuk pegawai kanan, tetapi turut dinikmati komuniti secara lebih meluas.
“SPRM turut mencadangkan, setiap permohonan sumbangan perlu mendapat kelulusan rasmi Ketua Pengarah JKDM sebelum disalurkan kepada PERKASA.
“Ia bagi memastikan proses permohonan, penilaian dan penerimaan sumbangan dilaksanakan secara telus serta dipantau di peringkat institusi.
“Selain itu, Tatacara Pengurusan Sumbangan Dana dan Tajaan sedia ada juga perlu ditambahbaik dengan memperincikan kriteria sumbangan yang dibenarkan bagi memastikan pengurusan dana persatuan diuruskan dengan lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti,” kata kenyataan itu, hari ini.
SPRM berkata, kesemua syor dibentangkan oleh Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib kepada Presiden PERKASA Pusat, Mohd Asri Seman di Bahagian Pengurusan Pematuhan, Presint 2, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Ketua Cawangan Integriti JKDM, Azian Umar; Timbalan Presiden PERKASA Pusat, Ab Halim Assar; Setiausaha Agong PERKASA Pusat, Saiful Azmi Yusof; Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kuala Lumpur Noor Azeana Azisdan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Kuala Lumpur, Mohd Hafifi Rahmat.
Dalam pada itu, Mohamad Zakkuan berkata, cadangan yang dikemukakan SPRM Kuala Lumpur diharapkan dapat memperkukuh tatakelola PERKASA, selain meningkatkan integriti dan keyakinan terhadap pengurusan sumbangan dana persatuan.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, pihaknha menyambut baik semua cadangan SPRM kerana ia selaras dengan prinsip integriti yang kukuh, dan persatuan bersedia melaksanakannya tanpa sebarang kompromi.
Untuk rekod, pada sesi pembentangan itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola sebagai simbolik persetujuan melibatkan antara PERKASA dan SPRM Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




