SPRM giat bangun sistem cegah bocor maklumat perolehan kerajaan

SPRM giat bangun sistem cegah bocor maklumat perolehan kerajaan

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini sedang giat membangunkan sistem yang boleh mencegah kebocoran maklumat membabitkan perolehan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sistem yang dibangunkan itu juga mendapat tempat keempat dalam satu pertandingan yang diadakan di Hong Kong tahun lalu.

“Kebanyakan kes SPRM membabitkan perolehan kerajaan adalah disebabkan ada unsur-unsur yang melanggar garis panduan telah diberikan dan diharapkan sistem ini dapat membantu menangani masalah yang dihadapi.

“Sistem ini akan diberikan secara percuma kepada mana-mana agensi kerajaan yang ingin mengguna pakai sistem terbabit apabila berjaya dibangunkan sepenuhnya kelak,” katanya pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, nota kerjasama yang diterajui oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu adalah manifestasi iltizam berterusan antara SPRM dan KKR dalam memperkukuh integriti, meningkatkan tatakelola serta membanteras rasuah, salah guna kuasa secara lebih strategik, bersepadu dan konsisten.

“SPRM akan terus komited menjadi rakan strategik kepada kementerian dan agensi kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan berakauntabiliti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, kerjasama dengan SPRM dapat membantu KKR membendung isu-isu berkaitan rasuah dan tatakelola bagi mengelakkan kerugian kepada kerajaan seperti kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berharap nota kerjasama ini dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala antara kedua-dua agensi ini sekali gus memperkukuh agenda Keep Malaysia Clean bagi membina negara yang bebas rasuah dan bertunjangkan integriti.

Kerjasama antara SPRM dan KKRbermula sejak 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan kemudian diperkukuh dengan Nota Kerjasama pada 2022.

Pembaharuan pada tahun ini memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu pengukuhan pengoperasian, pencegahan rasuah dan pendidikan antirasuah serta perkongsian kepakaran dalam pengesanan jenayah rasuah, penyaluran maklumat, pembangunan kompetensi dan latihan bersama.

Langkah itu termasuk penempatan pegawai kanan KKR bagi meningkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh kepakaran rentas agensi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, DatukJunipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha KKR, Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top