am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyebaran mesej antirasuah akan diperluas dengan memanfaatkan medium seni kreatif seiring penganjuran program ceramah dan pameran dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Pendekatan itu diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk bekerjasama dengan Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz (KTETM) dalam menyokong pasukan TMC Dancer KTETM yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, usaha itu juga selaras dengan amanat 2026 Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menekankan aktiviti pencegahan rasuah dilaksanakan melalui kaedah seni bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
“SPRM Selangor menyahut amanat itu untuk menjadikan seni kreatif sebagai salah satu medium penyebaran mesej anti rasuah.”Kami melihat bakat dan komitmen pelajar KTETM sangat baik untuk disokong di samping mereka boleh menjadi duta kecil bagi membantu SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negara kita,” katanya.
Hari ini, Mohd Azwan mengadakan penerangan dan perbincangan bersama Pengetua KTETM, Datin Seri Nurul Hidayah Seah Abdullah di KTETM,
Perbincangan merangkumi perancangan menghantar pasukan TMC Dancer menyertai Pertandingan Tarian Antarabangsa 11th World Cup of Folklore di Bulgaria pada Mei ini dengan membawa mesej anti rasuah selain memperkenalkan tarian warisan budaya negara.
Selain itu, satu program turut dirancang pada April ini bagi memperkenalkan pasukan berkenaan dengan pengisian kempen anti rasuah dan aktiviti bersama pelajar KTETM sebelum ke Bulgaria.
Program yang dirancang pada April itu turut mendapat kerjasama daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang menyokong usaha anti rasuah dalam kalangan pelajar khususnya di Selangor selain membantu dalam kempen Keep Malaysia Clean.
Program itu sebahagian inisiatif potongan cukai di bawah SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd


