SPRM guna teknologi sedia ada siasat kes rasuah

SPRM guna teknologi sedia ada siasat kes rasuah

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaksimumkan tenaga kerja dan kepakaran dengan menggunakan teknologi yang sedia ada khususnya dalam menyiasat kes rasuah masa kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, hala tuju dan strategi SPRM tahun ini adalah memberi fokus terhadap perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas kerajaan, hasil dan pendapatan negara.

“Objektif mesyuarat hari ini adalah memberikan gambaran menyeluruh berkenaan struktur organisasi, hala tuju dan strategi SPRM dalam mendepani cabaran memerangi rasuah di negara ini agar isu serta cadangan yang bakal dikemukakan oleh LPPR dalam Buku Ulasan LPPR seiring dengan hala tuju, strategi SPRM dan agenda nasional,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Bil1 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.

Dalam mesyuarat itu, Azam turut menerangkan fungsi SPRM sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009 serta Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Sementara itu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berharap mesyuarat LPPR dapat menjadi platform untuk menyuarakan isu bersesuaian dengan peranan badan-badan pemantau bebas sebagai mekanisme semak dan imbang kepada SPRM.

Beliau berkata, ia bagi memastikan SPRM melaksanakan mandatnya dengan penuh ketelusan, profesionalisme serta kebebasan mutlak daripada sebarang tekanan.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim juga membuat pembentangan berkaitan struktur organisasi SPRM, hala tuju dan strategi dalam pelaksanaan fungsi SPRM dan pencapaian SPRM kepada ahli LPPR yang baharu.

Turut diadakan adalah pembentangan oleh panel badan pemantau bebas SPRM iaitu Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO), Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham; Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Datin Yasmin Ahmad Merican dan Ahli Jawatankuasa Aduan, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top