hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeterai Surat Niat (LOI) dengan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) untuk meneroka peluang baharu khususnya pembangunan kapasiti dan keupayaan dalam bidang pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi kerjasama ini, SPRM dan IACA dapat berganding bahu menggunakan kepakaran masing-masing.
Beliau turut menyuarakan kepercayaan bahawa hubungan kerjasama antarabangsa dalam bidang pencegahan rasuah bukan lagi bersifat pilihan, namun ia perlu dilihat sebagai perkara yang penting.
“Revolusi perkembangan teknologi dunia dari semasa ke semasa turut membawa kepada perubahan baharu apabila wujud cabaran rasuah transnasional, jenayah kewangan yang semakin kompleks dan ancaman digital yang semakin canggih.
“Disebabkan perkembangan yang semakin kompleks, tiada sebarang agensi atau negara mampu berdiri dengan sendiri,” katanya pada Majlis Menandatangani LOI antara SPRM dan IACA di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur, di sini semalam.
Dalam majlis itu, SPRM diwakili oleh Tan Sri Azam manakala IACA diwakili Dekan IACA, Profesor Slagjana Taseva.
Turut hadir Penasihat IACA, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Rasidah Abdul Karim.
Azam berkata, pihaknya yakin LOI ini akan dapat membuka peluang baharu kepada pegawai SPRM dan rakan serantau untuk mendapat manfaat daripada kepakaran global, sumber akademik serta rangkaian tenaga profesional IACA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




