harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengisytiharkan komitmen berterusan khususnya dalam membanteras korupsi dan salah guna peruntukan awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya komited menjalankan tugas penguatkuasaan secara bebas, telus dan profesional, selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Tumpuan SPRM terhadap beberapa sektor sejak kebelakangan ini mencerminkan pendekatan yang berasaskan pemahaman sistem secara menyeluruh, sebagai asas penting sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“SPRM menekankan kepentingan kefahaman mendalam terhadap sistem dan prosedur melibatkan sektor pertahanan, pendidikan, kesihatan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ia termasuk syarikat milik kerajaan negeri yang mengurus peruntukan awam berskala besar, bagi memastikan setiap siasatan dijalankan secara objektif, berfakta dan berintegriti,” katanya.
Beliau menyatakan pendirian teguh itu semasa menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma CMG di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Azam merakamkan penghargaan di atas kerjasama diberikan pihak berkuasa United Kingdom khususnya dalam aspek perkongsian maklumat, bantuan siasatan, latihan dan pembangunan kapasiti.
Azam berkata, pihaknya menekankan kerjasama strategik dan penggunaan sistem dan analitik data dalam meningkatkan kecekapan pengurusan sumber serta mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dengan lebih berkesan.
Katanya, siasatan melibatkan sektor pertahanan khususnya membabitkan aspek perolehan memerlukan penelitian rapi dan pemahaman mendalam merangkumi struktur, mekanisme dan model operasi yang kompleks.
Sementara itu, Ajay menyatakan kesediaan Suruhanjaya Tinggi British untuk terus menyokong usaha SPRM dan memperkukuh kerjasama dua hala kedua-dua pihak terbabit.
Katanya, hubungan erat antara kedua-dua negara wajar terus diperkasakan melalui kerjasama bersifat praktikal, konstruktif dan berterusan, khususnya dalam usaha bersama membanteras rasuah serta memperkukuh amalan tadbir urus baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




