suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited melahirkan barisan pemimpin penguat kuasa berintegriti tinggi menerusi penganjuran Kursus Peralihan Penguasa SPRM yang memberi tumpuan kepada aspek keberanian moral dan kepimpinan beretika.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi berkata, kepimpinan dalam organisasi penguatkuasaan seperti SPRM menuntut keberanian moral dan keteguhan dalam prinsip.
“Setiap pegawai SPRM membawa imej organisasi di mata rakyat, bukan sahaja melalui keputusan dan tindakan yang dibuat tetapi juga dalam tutur kata, penampilan serta etika kerja seharian.
“Kepimpinan di SPRM menuntut keberanian moral, berani menegakkan kebenaran tanpa mencari populariti, berani menolak arahan bercanggah dengan undang-undang dan mempertahankan integriti pasukan walaupun berdepan risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Peralihan Penguasa SPRM P9 Siri 8 Bilangan 1/2025 membabitkan seramai 23 pegawai SPRMdi Dewan Tun Dr Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM; Syed Mohd Termizi Syed Musa; Timbalan Pengarah Akademi dan Latihan Asas MACA, Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan serta pegawai-pegawai kanan SPRM.
Pada majlis itu, Junipah turut menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik Kursus kepada Pemangku Penguasa SPRM, Mohd Zahari Zainon dan Anugerah Waja, yang julung kali diperkenalkan kepada Pemangku Penguasa SPRM, Muhamad Mustari Mustapah.
Untuk rekod, kesemua pegawai terbabit telah menjalani kursus yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC) bertempat di Kem Amazing Camp Legacy (ACL), Lenggong, Perak bermula dari 13 hingga 24 Oktober 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




