SPRM kukuh kerjasama strategik dengan kerajaan Pahang

SPRM kukuh kerjasama strategik dengan kerajaan Pahang

mhafis@mediaprima.com.my

Foto Ihsan SPRM

Kuantan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam berintegriti dan bebas rasuah.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, komitmen itu selari dengan kepentingan penghayatan prinsip Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai panduan utama dalam membentuk budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar Pahang, di sini, semalam.

Kunjungan hormat bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Pahang dan SPRM khususnya dalam aspek tadbir urus, integriti serta usaha pencegahan rasuah selaras dengan aspirasi Keep Malaysia Clean (KMC) dan pelaksanaan NACS 2024 – 2028.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa berkaitan pengukuhan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri, pematuhan kepada prinsip ketelusan serta usaha berterusan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang turut menzahirkan penghargaan atas peranan dan komitmen SPRM dalam memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh inisiatif pencegahan rasuah termasuk program kesedaran awam dan pelaksanaan inisiatif di bawah agenda “Keep Malaysia Clean” serta NACS di peringkat negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top