hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Dengkil: Dalam menghayati semangat pengorbanan sempena Aidiladha dan memenuhi tuntutan agama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan ibadah korban membabitkan tujuh lembu dalam Program Ibadah Korban SPRM 1446H/2025M.
Program dilakukan melalui Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM dengan mendapat kerjasama Surau Ikhwanul Muslimin, Kampung Sungai Buah Luar, di sini, hari ini.
SPRM dalam kenyataan berkata, ia disertai pihak pengurusan tertinggi dan warga kerja SPRM, kariah Surau Safinatun Najah Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dan ahli kariah Surau Ikhwanul Muslimin.
Katanya, program bermula seawal jam 8 pagi itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Puan Sri Normah Mohd Zin dan mendapat sambutan daripada warga SPRM.
“Penyembelihan membabitkan tujuh lembu yang mana lima ekor lembu disertai oleh pihak pengurusan tertinggi dan warga kerja SPRM, manakala selebihnya dari ahli kariah Surau Ikhwanul Muslimin.
“Program kemudian diteruskan dengan gotong-royong melapah daging dan memasak bagi meraikan warga SPRM dan ahli kariah surau yang terbabit dalam program berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, daging korban hasil diedarkan kepada peserta, warga Ibu Pejabat SPRM Gred 1 dan juga golongan asnaf yang dikenalpasti oleh pihak kariah Surau Ikhwanul Muslimin.
“Program berkenaan dapat memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti sambil memenuhi tuntutan agama,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi dan Pengarah BCP SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa.
© New Straits Times Press (M) Bhd