SPRM lumpuh sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan bahagian perisikan tentera

SPRM lumpuh sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan bahagian perisikan tentera

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi oleh pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.

Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang sejak operasi dilancarkan pada jam 6.30 pagi tadi.

“Pegawai-pegawai kanan itu adalah daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama. Mereka ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun yang lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta,” katanya.

Kata sumber, siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan.

“Serbuan pada awal pagi tadi dilakukan Bahagian Perisikan menerusi Ops Sohor berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira 12 bulan.

“Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan kesemuanya disita,” katanya.

Menurut sumber, rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai-pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan.

Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau menegaskan bahawa tindakan operasi ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ia membabitkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top