rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan perbincangan dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) berhubung isu rasuah dan jenayah rentas sempadan.
Perbincangan yang diketuai Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Zamri Zainuddin dan wakil AFP, Nick Morgan itu diadakan dalam perjumpaan rasmi kedua-dua agensi berkenaan di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Zamri berkata, ia sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia dalam memerangi rasuah serta jenayah rentas sempadan.
“Dalam sesi perbincangan itu, kedua-dua pihak berkongsi maklumat penting dan bertukar pandangan mengenai strategi serta amalan terbaik dalam siasatan jenayah rasuah, pengubahan wang haram selain jenayah kewangan antarabangsa.
“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa amat penting dalam menghadapi cabaran jenayah moden yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui hasil perbincangan itu pihaknya turut meminta bantuan AFP untuk mengesan seorang suspek yang dikenakan ‘notis merah’ dan sedang disiasat oleh BOK.
“Pihak AFP sudah menyatakan komitmen mereka memberikan bantuan melalui kerjasama dua hala antara agensi bagi mengesan dan mengekstradisi suspek terbabit ke negara ini untuk tujuan pertuduhan mengikut perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya, pertemuan itu menzahirkan komitmen bersama kedua pihak dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa demi membanteras jenayah rasuah dan kewangan secara lebih berkesan, sekali gus menjamin keselamatan serta integriti kedua-dua negara.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Nick Morgan atas komitmen berterusan AFP dalam menjalin kerjasama erat dengan SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd