am@hmetro.com.my
Kuantan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang beriltizam akan terus memperkukuhkan ekosistem integriti melalui pemantapan dasar, pemerkasaan pendidikan masyarakat dan kerjasama antara agensi.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, usaha memerangi rasuah tidak boleh digalas secara bersendirian, sebaliknya memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak.
Menurutnya, inisiatif Keep Malaysia Clean bukan sekadar kempen, sebaliknya sebuah gerakan nasional bagi membentuk persekitaran pentadbiran yang bersih, telus dan bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa.
“Antara usaha yang boleh dilakukan ialah memberi penekanan kepada pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai kerangka strategik yang komprehensif.
“Ia sekali gus memperkukuh integriti dan tadbir urus negara dalam memerangi rasuah,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis itu menjadi platform strategik dalam meningkatkan kesedaran serta mengukuhkan iltizam penjawat awam terhadap amalan kerja berintegriti.
Sementara itu, Nazri berkata, integriti adalah teras utama dalam memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dan pembentukan budaya kerja profesional.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited mempergiatkan inisiatif untuk memastikan amalan pengurusan berintegriti tinggi menjadi budaya kerja di semua jabatan serta agensi.
.Majlis itu dimulakan dengan sesi dialog profesional bertajuk “Membudayakan Integriti Dalam Organisasi: Cabaran dan Strategi Keberkesanan” yang membincangkan pendekatan strategik membanteras rasuah serta memperkukuh mekanisme kawalan dalaman membabitkan kerjasama dengan Persatuan Bekas Pegawai SPRM.
Sesi itu menampilkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali; serta bekas Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin sebagai panel.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada Pegawai Integriti Bertauliah, jabatan dan agensi yang berjaya melaksanakan Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001:2016.
Penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sistem pencegahan rasuah serta menyemai budaya akauntabiliti sebagai asas pentadbiran awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




