hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memberi hak sama rata kepada pegawai wanita dalam kemajuan kerjaya di organisasi berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, wanita hari ini mampu menjadi pemimpin yang baik dan berani untuk menyuarakan pendapat serta pandangan dalam membangunkan organisasi, masyarakat dan negara.
“Setiap wanita di SPRM mesti mempunyai semangat, harapan dan aspirasi baharu yang akan menjadi legasi contoh serta teladan.
“Wanita hebat bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana dia tidak pernah berhenti berusaha menjadi lebih baik setiap hari,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita SPRM Tahun 2025 di Auditorium SPRM di sini, hari ini.
SPRM mengangkat martabat pegawai wanita sebagai pemacu pembangunan negara melalui Sambutan Hari Wanita SPRM Tahun 2025 bertemakan ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Kakitangan Perkhidmatan Awam (Puspanita) SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin menzahirkan penghargaan kepada pegawai wanita di SPRM yang komited dalam melaksanakan tugas dan menyumbang jasa untuk kejayaan SPRM.
Katanya, beliau berharap sambutan itu dapat menyemarakkan dan memperkasakan peranan penting wanita sebagai pemimpin dalam keluarga, masyarakat serta negara.
Pada majlis berkenaan, anugerah julung kali diperkenalkan iaitu Tokoh Srikandi Puspanita SPRM 2025 diberikan kepada pesara SPRM, Halimah Md Shariff sebagai mengiktiraf sumbangan dan kejayaan pegawai wanita SPRM sama ada daripada segi kerjaya, pembangunan keluarga, sahsiah diri dan pembabitan dalam bidang tertentu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM merangkap Timbalan Pengerusi II Puspanita SPRM, Datuk Junipah Wandi.
© New Straits Times Press (M) Bhd