SPRM perkukuh keupayaan digital tangani jenayah kewangan

SPRM perkukuh keupayaan digital tangani jenayah kewangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuhkan penggunaan teknologi canggih termasuk Kecerdasan Buatan (AI), data raya dan forensik digital bagi mengesan serta membanteras jenayah kewangan dan rasuah yang semakin kompleks,

Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, kemajuan teknologi mengubah landskap tadbir urus dan jenayah, membolehkan penjenayah bergerak lebih pantas, lebih pintar serta sering melangkaui sempadan.

“SPRM mengguna pakai kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) yang menggabungkan pengalaman penyiasatan tradisional dengan analitik data dan sistem bantuan AI bagi menjejak aliran kewangan tidak teratur dan memetakan rangkaian jenayah dengan lebih berkesan.

“Operasi kami kini mengintegrasikan AI untuk tujuan pembuktian, analisis dokumen dan penilaian kes, sekali gus membolehkan pegawai melengkapkan siasatan kes kompleks dalam tempoh lebih singkat,” katanya dalam ucapan di Persidangan Antarabangsa Ke-15 Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Azam berkata, pihaknya juga sedang meneliti pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (Deferred Prosecution Agreement – DPA) seperti dilaksanakan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

“Melalui mekanisme ini, syarikat terbabit dalam kesalahan rasuah boleh memulangkan aset haram dan melaksanakan reformasi bagi menangani rasuah dalam organisasi mereka sebagai pertukaran untuk pertimbangan kehakiman.

“Selain itu dapat menjimatkan masa serta sumber daripada melalui perbicaraan mahkamah yang panjang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga sedang meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi menyediakan perlindungan lebih kukuh kepada individu yang tampil melaporkan rasuah dan salah laku.

“Perkongsian maklumat, kerjasama risikan dan inovasi teknologi perlu menjadi norma dalam usaha membanteras jenayah rasuah,” katanya.

Sementara itu dalam majlis berasingan, Setiausaha Eksekutif Egmont Group (EG), Jérôme Beaumont mengadakan kunjungan hormat ke atas Azam di Bilik Mesyuarat MITEC.

Kunjungan itu turut membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik dalam membekalkan bukti jenayah kewangan dan rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top