SPRM perlu siasat pendedahan KPN

SPRM perlu siasat pendedahan KPN

mohd_iskandar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pendedahan rasuah politik seperti yang didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, berkata IKRAM menyokong tindakan berani itu untuk menentang sebarang pengaruh politik yang membawa kepada salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam.

“IKRAM menggesa kerajaan supaya lebih serius dalam menangani isu integriti dan rasuah di semua peringkat kepemimpinan sektor awam dan institusi kerajaan.

“Selain itu, kita juga menggesa supaya maruah dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikembalikan dan satu suruhanjaya untuk meningkatkan akauntabiliti dan integriti anggota polis ditubuhkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohd Parid berkata, Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara sudah menegaskan PDRM perlu kekal sebagai sebuah pasukan penjaga keamanan dan keutuhan negara dan menolak sebarang campur tangan politik dalam menentukan kepemimpinan PDRM.

Malah, katanya, Suruhanjaya Sekuriti sudah mengeluarkan panduan supaya ahli politik tidak dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah bagi Syarikat Tersenarai Awam.

“Sehubungan itu, IKRAM menggesa pelantikan pemimpin kanan sektor awam adalah berdasarkan merit, kewibawaan serta memenuhi kriteria jawatan yang ditetapkan.

“IKRAM berharap kerajaan mengamalkan ketelusan dan keadilan serta mengikut prosedur yang ditetapkan dalam melantik mana-mana pegawai kerajaan.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dakwah, IKRAM akan terus memberi teguran dan saranan yang konstruktif kepada kerajaan serta badan berwajib bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta negara tercinta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top