Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan langkah beku harta bernilai sekurang-kurangnya RM4.5 bilion milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin, keluarganya dan proksi di lima negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Itali dan Jersey.
SPRM akan beku harta yang bernilai tingi gagal isytihar
Memetik laporan daripada Berita Harian, difahamkan, aset-aset bernilai tinggi itu gagal diisytiharkan ketika siasatan SPRM dijalankan pada tahun 2023.
“Aset serta akaun bank juga dikesan di Singapura dan Jersey iaitu negara pulau di Selat Inggeris.
Semua harta dan aset ini dikesan tidak diisytiharkan kepada SPRM ketika siasatan dijalankan pada 2023.
“Justeru itu, langkah mengenakan restraining order atau perintah larangan akan dipohon dalam tempoh terdekat dengan bantuan pihak berkuasa negara terbabit,” kata sumber.
Beku harta di AS, Jepun, Itali & Jersey
Aset di Amerika Syarikat termasuk kondominium, bangunan komersial dan akaun bank, manakala di Jepun membabitkan hotel, dan di Itali pula sebuah pusat beli-belah.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin turut mengesahkan pihaknya akan membawa kes ini ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, laporan berita ada mendedahkan lima negara menjadi sasaran siasatan SPRM, dan langkah sama akan dilaksana di beberapa negara lain yang turut menyimpan aset berkaitan.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihak berkuasa UK bersetuju membantu membekukan aset lebih RM700 juta yang dikaitkan dengan Daim.
Antara aset terbabit termasuk tiga kediaman mewah di London serta satu akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan GBP132 juta (RM758.2 juta) yang dikaitkan dengan isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan ahli keluarganya.
Artikel lain: SPRM mohon lucut hak Menara Ilham milik Tun Daim, aset RM700 juta dibekukan di UK
Namun, pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung sementara perintah tersebut selepas peguam Na’imah memfailkan permohonan bagi membatalkan perintah pembekuan secara ex parte yang diperoleh SPRM.
Pada 25 Jun, SPRM turut memfailkan permohonan melucut hak ke atas Menara Ilham, bangunan 60 tingkat di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang didakwa turut dikaitkan dengan Daim.
Setakat ini, lapan kertas siasatan telah dibuka hasil maklumat baharu dari agensi luar negara membabitkan aset tidak diisytiharkan ketika siasatan terdahulu.
Sumber: Berita Harian (Ilah Hafiz Aziz)