mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung pengurusan dan pelaksanaan projek MyKiosk.
Antara cadangan itu ialah mewujudkan pelaksanaan kajian keperluan yang komprehensif (termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi); menambah keberhasilan projek MyKiosk MADANI dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta mewujudkan satu unit pemantauan / jawatankuasa khas bagi pemantauan keberkesanan dan keberhasilan projek.
Dua lagi cadangan itu ialah menambahbaik Garis Panduan Inisiatif MyKiosk MADANI meliputi perolehan, pengurusan dan pemantauan serta mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap dan berfungsi sebagai rujukan operasi.
Syor dan cadangan itu adalah berdasarkan kepada isu membabitkan peruntukan kerajaan bagi projek MyKiosk sebanyak RM50 juta pada 2023 dan RM100 juta pada 2024.
Projek MyKiosk dikatakan salah satu projek gajah putih dan tidak mencapai objektif kerajaan sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat daripada penempatan MyKiosk yang tidak sesuai.
Antara isu utama ialah ketiadaan kajian keperluan dan mekanisme pemantauan keberhasilan yang komprehensif, termasuk petunjuk prestasi utama (KPI), yang menjejaskan penilaian impak projek di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kesemua syor itu dibentangkan oleh Timbalan Pengarah 1, BPT SPRM, Maznah Che Muda kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali sambil disaksikan oleh Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan di Bilik Mesyuarat JKT di sini, semalam.
Mohd Zaki berkata, pembentangan itu diterima baik dan dipersetujui oleh JKT untuk dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa, ketirisan serta menutup peluang berlakunya jenayah rasuah.
Beliau berkata, langkah ini dijangka memperkukuh pelaksanaan Projek MyKiosk supaya lebih telus, berfokus dan berakauntabiliti.
Sementara itu, Mohd Fadzli menyambut baik kesemua cadangan penambahbaikan yang disyorkan oleh SPRM dan ia dizahirkan apabila Laporan Penambahbaikan Tatakelola ditandatangani bersama antara SPRM serta JKT.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan, JKT, Mas Midyawam Ahmad Tajudin dan Pegawai Integriti, KPKT, Mohd Syafiq M Yashim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




