SPRM syor penambahbaikan tatakelola PTGNS

SPRM syor penambahbaikan tatakelola PTGNS

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan membentangkan lima cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) berhubung pengurusan dan tadbir urus PTGNS.

Antara cadangan itu ialah menetapkan tempoh kata laluan sementara yang dibekalkan kepada pegawai pendaftar, menetapkan aras pengenalan pengguna bagi pendaftar hanya boleh diakses pada terminal komputer pendaftar sahaja serta memperkenalkan sistem biometric kepada pendaftar untuk mengakses masuk ke dalam sistem Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).

Cadangan lain termasuk mewujudkan sistem time out berjangka masa wajar dan menstruktur semula ruang kerja pegawai-pegawai pendaftar dengan meminimumkan bilangan pegawai dalam sebuah bilik.

Syor itu dibentangkan oleh Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail kepada Pengarah PTGNS, Mohd Faizal Abdul Manap, di pejabat PTGNS di Seremban, hari ini.

Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM Negeri Sembilan dan PTGNS.

Awgkok Ahmad Taufik berkata, penguat kuasa PTGNS juga perlu meningkatkan integriti dengan mengenalpasti risiko yang boleh membuka ruang dan peluang berlaku rasuah ketika bertugas kerana tugas itu berlaku di lapangan yang jauh dari pejabat Pengarah PTGNS.

Katanya, cadangan penambahbaikan itu juga adalah berdasarkan kes yang pernah berlaku di PTGNS membabitkan pertindihan pendaftaran hak milik di atas lot yang sama dan kawalan pengeluaran kertas keselamatan (kertas geran) oleh pendaftar.

Sementara itu, Mohd Faizal menyambut baik cadangan berkenaan dan komited meneliti serta melaksanakan cadangan penambahbaikan itu secara berperingkat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap, telus dan berintegriti kepada pelanggan PTGNS.

Menurutnya, sesi penambahbaikan tatakelola itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan sistem pentadbiran PTGNS sekali gus meningkatkan keyakinan orang awam terhadap pengurusan dan pentadbiran tanah di Negeri Sembilan.

“Dengan cadangan penambahbaikan tatakelola itu, dijangka kutipan hasil cukai tanah akan terus meningkat dengan cadangan penambahbaikan tatakelola berkaitan sistem SPTB dan kawalan penggunaan kertas keselamatan yang lebih efektif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top