SPRM tahan Pengerusi IJM, siasat kes babit aset RM2.5 bilion di luar negara

SPRM tahan Pengerusi IJM, siasat kes babit aset RM2.5 bilion di luar negara

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengerusi Syarikat IJM Corporation Berhad berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan jam 7 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediaman beliau dibongkar.

“SPRM melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan; sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.

“Siasatan awal mendapati bank pelaburan terbabit dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK)menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara dan potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sehubungan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.

Kata sumber, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram dan setakat ini pihaknya sudah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu dan berkata, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata, suspek bagaimanapun dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan suspek turut mengalami masalah kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top