SPRM tahan penjawat awam, pesara kerajaan pecah amanah RM303,000

SPRM tahan penjawat awam, pesara kerajaan pecah amanah RM303,000

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam dan pesara kerajaan selepas disyaki terbabit dalam pecah amanah berjumlah kira-kira RM303,000.

Sumber berkata, lelaki dan wanita berusia 40 hingga 60-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah cawangan Lahad Datu.

“Mereka dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara Julai 2020 hingga Februari 2021 ketika bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya menyalahgunakan harta melalui lapan set baucar bayaran kepada buruh asing bernilai RM303,000, sedangkan buruh terbabit tidak pernah menerima sebarang bayaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top