SPRM tak mahu siasatkah dakwaan kartel polis? Soal Gobind

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mahu SPRM siasat dakwaan Hamid mengenai kartel dalam pasukan keselamatan itu.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Gobind Singh Deo mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdiam diri berhubung dakwaan salah laku rasuah dalam pasukan polis.

Dalam catatan di Facebook, Gobind menyatakan ia adalah kes yang “belum pernah terjadi sebelum ini”, kerana Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador secara terbuka mendedahkan terdapat amalan rasuah dalam pasukan itu.

“Apakah SPRM tidak mahu menyiasat dan mencari kebenaran di sebalik dakwaan ini?” soalnya.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu bersuara, kerana perkara itu sudah menjadi topik bualan ramai.

Katanya, SPRM mesti bertindak tanpa rasa takut, terutama dalam kes yang boleh menjejaskan integriti agensi penguatkuasaan.

“Berdiam diri bukan pilihan. Azam Baki mesti menjelaskan bagaimana beliau akan menangani masalah tersebut dan jika tidak ada rancangan untuk melakukannya, dia mesti jelaskan kenapa,” katanya.

Gobind turut mengulangi desakannya supaya Hamid membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Beliau turut menjelaskan, siasatan mengenai rasuah boleh dilakukan bawah Akta SPRM, jika seorang pegawai suruhanjaya itu memiliki alasan yang kuat untuk mencurigai suatu kesalahan baik melalui laporan, atau daripada maklumat yang diterima.

Baru-baru ini, Hamid dilapor mendedahkan kewujudan sekumpulan pegawai polis muda yang membentuk kartel bagi mendominasi pasukan polis dan menjatuhkan beliau.

Katanya, kartel itu memastikan rakan kongsi mereka dinaikkan pangkat untuk mendominasi hierarki polis, yang akan memudahkan “kerja kotor” mereka.